November 16, 2020

Pendekatan dalam bimbingan dan kaunseling

 APAKAH PENDEKATAN YANG TERDAPAT DALAM BIMBINGAN DAN KAUNSELING?




Setiap pendekatan mempunyai tema penting yang mempengaruhi arah program serta jenis perkhidmatan yang disediakan oleh kaunselor ataupun guru bimbingan dan kaunseling kepada klien yang terlibat.

Menurut Vianey (2013), terdapat empat pendekatan dalam bimbingan dan kaunseling. Pertamanya adalah pendekatan pencegahan yang mana merupakan bimbingan atau usaha untuk menyekat amalan atau kegiatan yang tidak sihat seperti isu merokok, LGBT, penyalahgunaan dadah dan buli sebelum ianya timbul dan meruncing. Misalnya, guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) meramalkan isu penyalahgunaan dadah mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk timbul dalam kalangan pelajar-pelajar, maka beliau perlu mengadakan aktiviti seperti ceramah, kempen dan kem untuk mencegah isu tersebut menular dalam kalangan pelajar-pelajar sekolah. Impaknya, pelajar-pelajar mengetahui implikasi sekiranya terlibat dengan gejala tersebut sekali gus mengurangkan kebarangkalian pelajar-pelajar terlibat dalam isu penyalahgunaan dadah tersebut.

Seterusnya, pendekatan perkembangan adalah satu langkah yang diambil oleh GBK untuk mengenalpasti keperluan pelajar-pelajar di alam persekolahan supaya mereka dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang dapat membantu mereka mengenali diri sendiri supaya tidak timbul isu dalam kehidupan mereka. Misal aktiviti yang boleh diadakan untuk memberi pendedahan kepada pelajar ialah ceramah motivasi dan kempen kerjaya supaya mereka lebih bersedia dengan kehidupan yang akan dihadapi selepas alam persekolahan.

Kemudian, pendekatan pemulihan memfokuskan kepada kekurangan atau isu yang dikenalpasti dari semasa ke semasa. Objektif pendekatan pemulihan adalah untuk mengubah tingkah laku mahupun sesuatu isu yang timbul seperti ponteng sekolah dan melawan guru. Oleh itu, mereka yang terlibat akan dipanggil untuk mengikuti sesi kaunseling individu mahupun sesi kelompok. Pendekatan ini dapat memberi kesan kesedaran kepada pelajar-pelajar yang terlibat mengenai kesalahan yang dilakukan.

Pendekatan krisis melibatkan kendalian kes yang timbul secara mendadak seperti pergaduhan dan cubaan membunuh diri yang memerlukan perhatian serta tindakan segera daripada GBK dan pihak pentadbir sekolah. Sekiranya pergaduhan di antara pelajar berlaku, GBK perlu bertindak pantas untuk campur tangan menjadi orang tengah untuk meleraikan dan memperbaiki keadaan. Teknik pendekatan ini perlu ada pada setiap GBK supaya isu dapat ditangani dengan baik dan tidak memberi implikasi buruk kepada pelajar yang terlibat atau orang lain.



RUJUKAN

       Vianey Ester Paulus Limius. (2013). Empat Pendekatan Bimbingan dan Kaunseling. Retrieved from https://www.scribd.com/doc/129524682/4-Pendekatan-Bimbingan-Dan-Kaunseling.





No comments:

Post a Comment

Pendekatan dalam bimbingan dan kaunseling

 APAKAH PENDEKATAN YANG TERDAPAT DALAM BIMBINGAN DAN KAUNSELING? Setiap pendekatan mempunyai tema penting yang mempengaruhi arah program ser...