APAKAH PENDEKATAN YANG TERDAPAT DALAM BIMBINGAN DAN KAUNSELING?
Setiap pendekatan mempunyai tema penting yang mempengaruhi arah program serta jenis perkhidmatan yang disediakan oleh kaunselor ataupun guru bimbingan dan kaunseling kepada klien yang terlibat.
Menurut Vianey (2013), terdapat empat pendekatan dalam
bimbingan dan kaunseling. Pertamanya adalah pendekatan pencegahan yang mana
merupakan bimbingan atau usaha untuk menyekat amalan atau kegiatan yang tidak
sihat seperti isu merokok, LGBT, penyalahgunaan dadah dan buli sebelum ianya timbul
dan meruncing. Misalnya, guru Bimbingan dan Kaunseling (GBK) meramalkan isu
penyalahgunaan dadah mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk timbul dalam
kalangan pelajar-pelajar, maka beliau perlu mengadakan aktiviti seperti
ceramah, kempen dan kem untuk mencegah isu tersebut menular dalam kalangan
pelajar-pelajar sekolah. Impaknya, pelajar-pelajar mengetahui implikasi
sekiranya terlibat dengan gejala tersebut sekali gus mengurangkan
kebarangkalian pelajar-pelajar terlibat dalam isu penyalahgunaan dadah
tersebut.
Seterusnya, pendekatan perkembangan adalah satu
langkah yang diambil oleh GBK untuk mengenalpasti keperluan pelajar-pelajar di
alam persekolahan supaya mereka dilengkapi dengan pengetahuan, kemahiran dan
pengalaman yang dapat membantu mereka mengenali diri sendiri supaya tidak
timbul isu dalam kehidupan mereka. Misal aktiviti yang boleh diadakan untuk
memberi pendedahan kepada pelajar ialah ceramah motivasi dan kempen kerjaya
supaya mereka lebih bersedia dengan kehidupan yang akan dihadapi selepas alam
persekolahan.
Kemudian, pendekatan pemulihan memfokuskan kepada
kekurangan atau isu yang dikenalpasti dari semasa ke semasa. Objektif
pendekatan pemulihan adalah untuk mengubah tingkah laku mahupun sesuatu isu
yang timbul seperti ponteng sekolah dan melawan guru. Oleh itu, mereka yang
terlibat akan dipanggil untuk mengikuti sesi kaunseling individu mahupun sesi
kelompok. Pendekatan ini dapat memberi kesan kesedaran kepada pelajar-pelajar
yang terlibat mengenai kesalahan yang dilakukan.
Pendekatan krisis melibatkan kendalian kes yang timbul
secara mendadak seperti pergaduhan dan cubaan membunuh diri yang memerlukan
perhatian serta tindakan segera daripada GBK dan pihak pentadbir sekolah. Sekiranya
pergaduhan di antara pelajar berlaku, GBK perlu bertindak pantas untuk campur
tangan menjadi orang tengah untuk meleraikan dan memperbaiki keadaan. Teknik
pendekatan ini perlu ada pada setiap GBK supaya isu dapat ditangani dengan baik
dan tidak memberi implikasi buruk kepada pelajar yang terlibat atau orang lain.
RUJUKAN
Vianey Ester Paulus Limius. (2013). Empat Pendekatan Bimbingan dan Kaunseling. Retrieved from https://www.scribd.com/doc/129524682/4-Pendekatan-Bimbingan-Dan-Kaunseling.