Pengenalan
Ponteng merupakan salah laku pelajar yang melanggar undang-undang sekolah. Dalam erti kata lain, seseorang pelajar yang tidak menghadiri sesi persekolahan atas sebab-sebab yang tidak munasabah dikira sebagai ponteng.
Menurut Kamus Elektronik Dewan Bahasa dan Pustaka, ponteng didefinisikan sebagai lari daripada tanggungjawab atau tugas tanpa kebenaran. Demikian itu, kegagalan untuk hadir ke kelas walaupun keberadaan murid itu di sekolah juga dikira sebagai ponteng.
Menelusuri pasca kemodenan ini, isu ponteng sekolah ini tidak lagi tertumpu kepada pelajar sekolah menengah malah pelajar sekolah rendah juga sudah terlibat dengan kancah isu ponteng sekolah ini.
Mencegah itu lebih baik daripada merawat. Oleh itu, salah satu pihak yang sangat bertanggungjawab dalam membendung isu ini adalah guru bimbingan dan kaunseling di sekolah. Namun begitu terdapat banyak cabaran yang perlu ditempuhi oleh guru bimbingan dan kaunseling tersebut dalam menangani dan mengatasi isu ponteng sekolah ini.
Cabaran
Faktor sekolah
1. Kemudahan sekolah yang kurang sempurna
- Terdapat beberapa pelajar yang ponteng sekolah kerana tidak berpuas hati dengan kemudahan sekolah terutamanya inventori kelas. Contohnya, bilik darjah yang sedikit sempit dan tidak ceria serta meja dan kerusi yang usang dan rosak kerana tidak mempunyai peruntukan daripada pihak sekolah menyebabkan pelajar berasa tidak selesa. Hal ini menyebabkan guru kaunseling sukar mengatasinya.
2. Persekitaran yang kurang kondusif
- Keadaan kawasan sekolah yang kurang ceria dan bangunan lama juga menjadi faktor utama kepada ponteng sekolah. Mengikut Datuk Mahadzir Mohd Khir (Berita Harian, 2 April 2001), pelajar
yang ponteng adalah kerana berasa tertekan ketika berada di sekolah. Ini merujuk
kepada kemudahan sekolah atau bilik darjah yang serba kekurangan dari segi peralatan
di kelas serta suasana ceria di dalam dan luar kelas
3. Luar sekolah
- Kedudukan sekolah yang dekat dengan kawasan bandar menjadikan pelajar mudah untuk ponteng sekolah. Hal ini kerana, mereka akan menuju ke pusat membeli belah, tempat rekreasi dan pusat permainan video untuk dijadikan tempat lepak. Oleh itu, tindakan segera perlu diambil oleh kaunselor sekolah dalam menanganinya.
Sistem pendidikan
1. Gaya pengajaran guru
- Gaya pengajaran guru yang membosankan dan berpusatkan guru iaitu tidak melibatkan para pelajar secara aktif juga mendorong mereka untuk ponteng sekolah. Hal ini kerana, pelajar akan berasa bosan sekiranya mereka hanya duduk dan mendapatkan input-input daripada guru sahaja. Guru sepatutnya lebih kreatif dalam pengajaran supaya para pelajar juga lebih aktif dan berminat untuk mendapatkan pembelajaran yang berkualiti.
Hal ini menyukarkan lagi kaunselor lebih-lebih lagi apabila guru sendiri menjadi pencetus berlakunya ponteng sekolah. Menurut Ee Ah Meng (1991), kegiatan melanggar salah laku disiplin bermula
dari pengajaran guru iaitu dari segi penjelasan yang kurang lengkap, mutu suara yang
kurang baik, ketiadaan ketekalan guru dan iklim kelas yang diwujudkan guru kurang menggalakkan.
2. Tugasan yang banyak
- Sikap seorang guru yang perlu diwujudkan ialah peka dan memahami perasaan seseorang pelajar. Hal ini kerana, tugasan yang terlalu banyak akan menjadikan pelajar terbeban. Hal ini seterusnya akan menyebabkan pelajar melarikan diri dari sistem pendidikan yang membebankan diri mereka.
3. Personaliti guru
- pelajar-pelajar yang berada di kelas belakang atau dalam makna kata lain pelajar yang berada di kelas tercorot terutamanya lebih cenderung untuk terlibat dalam ponteng kelas mahupun ponteng sekolah. Hal ini disebabkan oleh sikap guru yang terlalu tegas dimana mudah marah dan membebel serta sering meminggirkan pelajar yang lemah dalam pelajaran yang mana secara tidak langsung telah menyumbang kepada isu ini.
Faktor keluarga
1. Keluarga yang tidak harmoni
- Keluarga yang tidak harmoni akan memberikan tekanan perasaan kepada pelajar tersebut. Mereka akan rasa terganggu dan tidak dapat fokus kerana suasana keluarga bahagia yang mulai runtuh. Contohnya, penceraian ibu bapa, penderaan kanak-kanak dan sikap ibu bapa yang tidak mengambil berat terhadap pelajaran anak-anak akan menyebabkan pelajar kurang berminat dengan pembelajaran sekolah.
2. Masalah sosioekonomi
- Terdapat beberapa pelajar yang kurang berkemampuan kerana sosioekonomi keluarga yang rendah. Desakan tersebut menyebabkan mereka cenderung untuk bekerja sewaktu sesi persekolahan tanpa pengetahuan ibu bapa mereka. Pelajar dengan sosioekonomi yang rendah mempunyai tingkat motivasi yang rendah, sukar dikawal dan agresif (Powell 1973). Oleh itu, pelajar akan melakukan apa sahaja dalam keadaan yang terdesak. Tindakan yang mereka ambil ini adalah untuk mencari nafkah dalam meringankan bebanan ibu bapa. Oleh itu, pelajar tersebut akan ponteng sekolah kerana ingin mencari wang.
3. Masalah pengangkutan
- Jersild A.T Brook ( 1978 ), kedudukan sekolah yang jauh mempengaruhi pelajar
untuk datang lewat dan kadang-kadang akan ponteng sekolah. Pelajar yang tinggal jauh dengan sekolah tidak dapat ditempatkan di asrama mengakibatkan kesusahan pelajar ke sekolah. Bagi pelajar yang tidak mempunyai pengangkutan sendiri menjadi masalah untuk ke sekolah. Ini memberi alasan kepada pelajar ketidakhadiran mereka ke sekolah. Akibat daripada sosioekonomi keluarga yang rendah, beberapa pelajar menghadapi kesukaran untuk pergi ke sekolah. Hal ini kerana, ibu bapa mereka tidak mampu untuk mendapat sebuah kereta mahupun basikal akibat kemiskinan. Hal ini bertambah teruk apabila jarak antara rumah pelajar dengan sekolah sangat jauh. Oleh itu, mereka akan terdorong untuk ponteng sekolah. Selain itu, kaunselor sekolah mestilah mengambil inisiatif dalam membantu beberapa pelajar tersebut.
Pengaruh rakan sebaya
1. Pelajar yang ponteng sekolah ini lazimnya adalah kerana terpengaruh dengan rakan sebaya. Hal ini kerana, pelajar yang mudah setahun jagung sentiasa mencari identiti diri mereka. Oleh itu, pelajar tersebut akan ponteng sekolah untuk menunjukkan bahawa diri mereka itu hebat. Mengikut Mohamed Yunus Mohamed Noor (1994), pelajar yang ponteng sering terpengaruh dengan kegiatan luar dan mendorong mereka melakukan kegiatan yang melanggar undang-undang seperti mencuri, samseng serta menghisap dadah. Mereka melakukan semua itu demi sebuah identiti diri.
Sikap pelajar itu sendiri
1. Ponteng sekolah juga berlaku kerana sikap sesetengah pelajar yang tidak gemar untuk belajar dan menduduki peperiksaan. Tindakan pelajar tersebut dikatakan tidak rasional kerana mereka melakukan perkara tersebut tanpa memikirkan implikasi terhadap mereka dan pelajaran itu sendiri. Oleh hal yang demikian, pelajar akan ponteng sekolah kerana kurang minat dalam belajar dan takut untuk menduduki peperiksaan.
Usaha dan peranan kaunselor
Bagi menangani isu ponteng sekolah yang semakin menjadi-jadi saban tahun, guru bimbingan dan kaunseling memainkan peranannya untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam diri para pelajar secara langsung atau tidak (Roslee Ahmad dan Mohamed, 2011) dan membantu para pelajar untuk meningkatkan keupayaan berfikir dan bertindak secara positif serta berkesan (Sapora Sipon, 2012).
1. Perkhidmatan kaunseling
Perkhidmatan ini disediakan untuk mengenalpasti masalah dan membantu pelajar untuk membuat pertimbangan dan mengenali diri sendiri.
Guru bimbingan dan kaunseling menjalankan tanggungjawabnya untuk menangani cabaran yang dihadapi dengan melakukan sesi kaunseling individu mahupun kelompok berdasarkan kesesuaian isu pelajar yang terlibat dalam gejala ponteng sekolah tersebut. Kebiasaannya, guru bimbingan dan kaunseling akan menjalankan sesi kaunseling kelompok bersama pelajar-pelajar yang terlibat dalam isu ini supaya mereka berperasaan ada insan yang mengambil berat atas diri mereka dan berjaya mengubah tingkah laku kepada lebih baik ( Siti Hajar Johari, Dharatun Nissa, Siti Nur Aisyah, Restu Nabila dan Jeffery Apdal, 2019)
2. Mengadakan program intervensi
Guru bimbingan dan kaunseling juga menyediakan program intervensi individu mahupun kelompok untuk pelajar-pelajar yang terlibat dalam isu ini. Program ini dilakukan dalam bentuk sumbang bakti seperti gotong-royong, membantu guru dan sebagainya. Selain itu, program intervensi ini juga melibatkan khususnya ibubapa pelajar. Menurut Siti Hajar Johari, Dharatun Nissa, Siti Nur Aisyah, Restu Nabila dan Jeffery Apdal (2019), guru bimbingan dan kaunseling juga akan mengadakan sesi konsultasi bersama ibu bapa pelajar mengenai kepentingan sekolah semasa hari bertemu pelanggan. Program intervensi ini diadakan bertujuan untuk mengubah tingkah laku pelajar dan memberi kesedaran kepada mereka yang terlibat dalam gejala ini serta pendedahan kepada ibu bapa mengenai keburukan gejala ponteng sekolah.
3. Mengadakan program pendedahan dan pembangunan diri.
Menurut Siti Hajar Johari et. Al (2019) guru bimbingan dan kaunseling juga meneruskan usaha untuk menangani cabaran ini dengan mengadakan program pendedahan kepada para pelajar mengenai keburukan ponteng sekolah melalui kempen, ceramah dan kursus.
Selain itu, program pembangunan diri untuk pelajar-pelajar yang terlibat dengan isu ponteng sekolah juga diadakan bagi memperbaiki tingkah laku dan memberi kesedaran kepada pelajar-pelajar tersebut. Misalnya, pelajar-pelajar ini akan mengikuti kem, latihan dalam kumpulan, kursus dan sebagainya.
4. Mengikut prosedur Peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia
Menurut Siti Hajar et. al. (2019), guru bimbingan dan kaunseling akan merujuk prosedur Peraturan Kementerian Pendidikan Malaysia dan prosedur pihak sekolah sendiri untuk menangani isu ponteng sekolah yang berlaku. Surat amaran akan dikeluarkan kepada pelajar yang terlibat secara berperingkat. Setelah tiga kali surat amaran dikeluarkan guru bimbingan dan kaunseling bersama guru penolong kanan hal ehwal murid sendiri akan turun untuk membuat lawatan kerumah pelajar yang terlibat.
Jurnal
• Ainonmadiah Mohd. Nawawi, Awanis Mohd, Norhana Md. Saad, Juliana Baharuddin & Siti Noor Ismail. (2016).
Hubungan antara gaya pengajaran guru dengan tahap ponteng sekolah menengah di daerah Bachok, Kelantan. Proceeding of ICERS, 1(2016), 341-358.
• Azizi Yahaya, Noordin Yahaya, Shahrin Hashim, Jamaludin Ramli & Krishnan, V. (2011). Perkaitan antara gejala
ponteng sekolah, kelas dan kokurikulum dengan pencapaian akademik pelajar di sebuah sekolah menengah daerah Skudai, Johor Bahru. Jurnal Teknologi, 25-50.
• Ipique, P. R., Zuria Mahmud. (2019). Mengenalpasti masalah ketidakhadiran pelajar harian sekolah rendah dalam
aktiviti GERKO melalui teknik lukisan. Seminar Antarabangsa Isu-Isu Pendidikan, 33-37.
• Md Suhaimi Md Husin. (2007). Kajian tentang faktor sekolah yang mempengaruhi masalah ponteng di kalangan
pelajar di sekolah-sekolah menengah di daerah Tanah Merah Kelantan. Universiti Teknologi Malaysia, 1-50.
• Siti Hajar Johari, Dharatun Nissa Fuad Mohd Karim, Siti Nor Aisyah Akhwan,Restu Nabila & Jeffery Apdal. (2019).
Peranan kaunselor dalam menangani masalah ponteng sekolah. International Journal of Supply Chain, Operation Management and Logistic, 1(1), 1-8.